Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Kontinjen Negeri Sembilan Sasar Kedudukan Lima Teratas SUKMA 2016

Seremban - Kontinjen Negeri Sembilan menyasarkan kedudukan lima teratas dalam Sukan Malaysia (Sukma 2016) yang dijadualkan berlangsung dari 17-31 Julai ini di Sarawak.  

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Zaifulbahri Idris berkata kontinjen Negeri Sembilan membuat persediaan sepenuhnya bagi mencapai sasaran itu dengan atlet tetap menjalani latihan meskipun di bulan Ramadan. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Lawatan Promosi Pihak Sekretariat Sukma XVIII (Sukma-18) di sini.

Zaifulbahri berkata kontinjen Negeri Sembilan akan mengambil bahagian dalam 21 daripada 24 acara sukan yang dipertandingkan.

Sebanyak 24 sukan dipertandingkan dalam kejohanan kali ini iaitu 19 adalah sukan wajib manakala baki lima adalah sukan pilihan.

Kejohanan Sukma kali ini juga akan menyaksikan 19 acara sukan diadakan di Kuching dan Kota Samarahan, tiga acara di Sibu dan dua acara di Miri.