Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Denmark Pasukan Eropah Pertama Rangkul Piala Thomas

China - Denmark berjaya melakar sejarah apabila menjadi pasukan Eropah pertama merangkul trofi Piala Thomas selepas menewaskan juara 13 kali, Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir. 

Ia adalah percubaan kali kesembilan buat jaguh Eropah itu dalam usaha untuk bergelar juara. 

Dalam aksi penuh dramatik di Pusat Sukan Kunshan, Denmark meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan, Viktor Axelsen yang menewaskan Tommy Sugiarto 21-17, 21-18. 

Indonesia berjaya menyamakan kedudukan hasil kemenangan pasangan beregu pertama mereka, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan ke atas Mad Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding 21-18, 21-13. 

Denmark kembali mendahului selepas pemain perseorangan kedua mereka, Jan O Jorgensen menewaskan Anthony Ginting 21-17, 21-12 tetapi Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi menghidupkan peluang buat Indonesia dengan menyamakan kedudukan hasil kemenangan ke atas Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 21-14. 

Dalam perlawanan penentuan, pengalaman jelas memberi kelebihan buat perseorangan ketiga Denmark, Hans Kristian Vittinghus yang muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan Denmark selepas menewaskan Ihsan Maulana Mustofa 21-15, 21-7. 

Kekalahan di tangan Denmark menyaksikan kemarau selama 14 tahun dialami Indonesia bagi muncul juara berterusan sejak kali terakhir menjulang trofi Piala Thomas pada 2002 di Guangzhou, China.