Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Sazali Digantung Empat Tahun Selepas Positif Ujian Doping - PBBM

Kuala Lumpur - Atlet bina badan negara Sazali Samad dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 Sept lepas, iaitu tarikh keputusan ujian, selepas didapati positif ujian doping.

Timbalan Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman berkata Sazali menerima keputusan tersebut tanpa bantahan dan atlet berusia 48 tahun itu juga tidak berhasrat membuka ujian sampel B.

Beliau berkata Sazali, yang telah 20 tahun mengharumkan nama negara, hanya menyedari makanan tambahan diambilnya mengandungi bahan terlarang selepas Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) mengeluarkan keputusan ujian berkenaan.

"Sazali juga tidak merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) tentang suplemen itu. Kita menerima penjelasan Sazali bahawa pengambilan bahan tersebut bukanlah disengajakan tetapi ekoran kecuaian beliau sendiri.

"Sazali adalah atlet bina badan yang sangat berdisiplin, beliau banyak mengharumkan nama negara. Kita faham, beliau sendiri juga kesal dengan apa terjadi...nasibnya tidak baik," katanya kepada pemberita di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi.

Difahamkan, Sazali kini berada di Johor.