Wednesday, June 26, 2019
updated 3:02 PM UTC, Jun 26, 2019

Manchester United Tewas 2-3 Dengan West Ham

  • Published in Sukan

London - Manchester United berdepan detik cemas sebelum aksi menentang West Ham United yang berakhir kekalahan 2-3, awal pagi tadi ketika peluang kelab itu untuk beraksi di kempen Liga Juara-Juara kian sukar. 

Sebelum perlawanan, bas yang membawa pemain United diserang dan dibaling dengan objek keras ketika menuju ke Stadium Upton Park sehingga memaksa perlawanan ditangguhkan selama 45 minit. 

Manchester United terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Diafra Sakho. 

United kemudiannya bangkit untuk mendahului 2-1 dengan kedua-dua gol diledakkan penyerang muda Perancis, Anthony Martial pada awal babak kedua. 

Begitupun, semangat West Ham yang beraksi buat kali terakhir di Upton Park selepas 112 tahunterlebih dulu jelas sukar untuk digugat apabila kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi jaringan Michail Antonio. 

Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan pemain pertahanan, Winston Reid yang menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-80 menewaskan David de Gea. 

Perlawanan ke-2,398 West Ham di Upton Park itu cukup bermakna apabila diakhiri dengan kemenangan dengan pasukan itu akan berpindah ke stadium Olimpik pada musim depan. 

Bagi Manchester United pula, kekalahan itu menyaksikan mereka kekal di tangga kelima liga dan hanya boleh memintas pasukan di tangga keempat, Manchester City jika menang di laman sendiri menentang Bournemouth pada Ahad dan City tewas kepada Swansea.