Tuesday, December 12, 2017
vital-top
updated 9:42 AM UTC, Dec 12, 2017

Misi Julanag Piala Thomas Bermula

  • Published in Sukan

Sepang - Masanya sudah tiba buat barisan pemain badminton negara memulakan misi menamatkan kemarau 24 tahun untuk menjulang kembali Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1992. 

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia, BAM, Morten Frost Hansen mengakui kesemua 10 pemain yang tersenarai untuk menggalas tugas mencabar itu kini berada pada tahap terbaik selepas mengharungi kem latihan pusat selama 10 hari. 

Frost ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA bersama skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara sebelum berangkat ke China. 

Skuad negara yang akan berkampung di Kunshan, China mulai hari ini berlepas pada jam 8.55 pagi tadi dengan menaiki pesawat MH 388 ke Shanghai. 

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka kempen menentang England pada Ahad ini diikuti pertemuan dengan Jerman sebelum menentang Korea Selatan pada Selasa. 

Kali terakhir skuad negara menjulang piala berpasukan itu adalah pada 1992 selepas menumpaskan musuh tradisi Indonesia 3-2 dengan ketika itu diketuai Rashid Sidek.