Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Litar Sepang Ditutup Untuk Kerja Naik Taraf

Kuala Lumpur - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menutup trek perlumbaannya dari 15 Feb hingga 8 Mei tahun depan bagi kerja baik pulih dan naik taraf, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Kerja naik taraf itu susulan yang terakhir dilakukan adalah pada 2007.

Kerja baik pulih dan naik taraf itu dijadualkan pada 2016 berdasarkan syarat ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), untuk memastikan litar terus mematuhi piawaian antarabangsa.

Razlan berkata kerja naik taraf itu akan melibatkan keseluruhan 5.54 kilometer litar bertaraf dunia itu, dan ia merupakan syarat wajib bagi memastikan trek Sepang terus disenarai dalam FIA dan FIM, masing-masing sebagai litar Gred Satu dan Gred A.

Kerja baik pulih dan naik taraf itu akan termasuk membaiki dan menaik taraf sistem perparitan; kawasan 'kerbs and the tarmac run-off' serta kawasan 'gravel bed' di Turn One dan 15, katanya.

"Sepertimana semua kemudahan lain dan khususnya litar, kerja penyenggaraan merupakan keutamaan, dan kerja baik pulih dan naik taraf adalah perlu untuk memastikan litar di Malaysia berada dalam keadaan memuaskan dan berkualiti tinggi," katanya.