Wednesday, June 26, 2019
updated 12:25 PM UTC, Jun 26, 2019

Peruntukan RM2 Juta Untuk Keseluruhan Siri JCM - Khairy

  • Published in Sukan

 

Petaling Jaya  - Peruntukan RM2 juta adalah untuk keseluruhan program Siri Berbasikal Remaja Malaysia (JCM), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata peruntukan tersebut termasuk 16 siri perlumbaan di seluruh negara, peralatan dan termasuk kos mereka yang terpilih untuk menyertai perlumbaan di luar negara.

"Jangan salah fahamlah. Ia bukan hanya peruntukan untuk di (siri perlumbaan di) Serdang sahaja, tetapi keseluruhan program berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kupas Buku.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan bahawa peruntukan program JCM berjumlah RM2 juta tetapi hadiah diberi kepada pemenang hanya RM30 sahaja yang viral di media sosial baru-baru ini.

Khairy berkata, program JCM akan tetap diteruskan dan tidak lagi menawarkan hadiah wang tunai seperti sebelum ini.

Katanya hadiah mungkin diberi dalam bentuk baucar peralatan sukan termasuk pingat.

"Selama ini program KBS memang tiada bagi hadiah wang ringgit. Jadi ini tidak akan menjadi isu atau memberi impak kepada program ini, malah selepas isu 'mock check' (RM30 kepada pemenang) itu ramai yang tahu pasal JCM," katanya.