Monday, August 19, 2019
updated 10:06 AM UTC, Aug 19, 2019

SUKMA - Sarawak Bersedia Sambut Ketibaan Atlet

  • Published in Sukan

Sarawak - Seratus hari lagi Sarawak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18. 

Bumi Kenyalang telahpun bersedia menyambut ketibaan atlet dari seluruh negara, dan berazam menjadi tuan rumah terbaik. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Chani berkata, selain mahu menjadi tuan rumah terbaik, Sarawak juga mensasarkan untuk  bergelar juara keseluruhan yang pernah dimiliki 26 tahun lalu ketika menjadi tuan rumah pada tahun 1990. 

Ditemui pada Sidang Media Kiraan Detik 100 Hari SUKMA dan Pertemuan dengan 1200 sukarelawan, di Kuching Sentral, Tan Sri Morshidi berkata Sarawak juga bersedia dengan sistem pengangkutan udara, darat dan penginapan. 

Dijangkakan seramai 27 ribu orang akan berkunjung ke negeri itu sepanjang 11 hari SUKMA berlangsung. 

Temasya sukan itu akan dirasmikan pada 22 Julai yang merupakan hari ulang tahun kemerdekaan Sarawak. 

Sebanyak 20 acara akan dipertandingkan pada SUKMA Ke-18.