Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

Malaysia Lakar Sejarah Raih Dua Pingat Emas Pada Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik

 

Ljubljana - Skuad gimnastik artistik negara menampilkan aksi yang mempesonakan selepas merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Ljubljana, Slovenia semalam.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Tan Ing Yueh menyumbang pingat emas pertama Malaysia selepas mengungguli acara batang titian dengan 13.800 mata, menurut laman sesawang kejohanan: website;www.world-cupljubljana.si.

Gimnas Slovenia, Adela Sajn memenangi pingat perak dengan 13.300 mata sementara gimnas dari Kanada, Sydney Soloski meraih gangsa dengan mengutip 13.200 mata.

Seorang lagi gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menduduki tempat kelima daripada lapan gimnas keseluruhan dalam acara itu dengan memungut 12.650 mata.

Pingat emas kedua Malaysia disumbangkan oleh Tracie Ang dalam acara senaman lantai dengan meraih 13.450 mata sementara Soloski dan Dorina Boeczoego dari Hungary, masing-masing memenangi perak dan gangsa selepas mengutip 13.300 dan 13.250 mata.