Wednesday, June 26, 2019
updated 12:25 PM UTC, Jun 26, 2019

Malaysia Ikat Juara Bertahan New Zealand 3-3

  • Published in Sukan

Ipoh - Malaysia memulakan cabaran Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah dengan mencatatkan keputusan seri 3-3 menentang New Zealand di Stadium Azlan Shah, malam tadi. 

Pasukan negara pada mulanya bermula cemerlang dengan ledakan gol seawal minit ke-14 yang dijaringkan Firhan Ashari. 

Bagaikan tersentak, pasukan New Zealand terus mengasak benteng pertahanan Malaysia dan berjaya menghasilkan gol menerusi Nick Wilson pada minit ke-22. 

Mula separuh masa kedua, Nick Wilson terus bertindak cemerlang apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-34, sekaligus meletakkan pasukan New Zealand di hadapan. 

Bagaimanapun dengan sokongan padu lebih 5000 penyokong, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 yang disempurnakan oleh ketua pasukan, Razie Rahim. 

Malaysia seterusnya sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti dan tidak disia-siakan Shahril Saabah pada minit ke-48. 

Ketangkasan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman menyaksikan New Zealand menghadapi kesukaran untuk menembusi gawang pasukan lawan sehingga suku empat permainan. 

Bagaimanapun, minit ke-55, New Zealand berjaya menyamakan kedudukan selepas beberapa kali dihadiahkan pukulan sudut penalti menerusi jaringan Simon Child. 

Keputusan 3-3 berterusan sehingga tamat wisel penamat. 

Hari ini, Malaysia akan meneruskan aksi seterusnya bertemu Japan.