Monday, August 26, 2019
updated 3:36 AM UTC, Aug 26, 2019

Pemain Skuad Piala Presiden Melaka United Dipanah Petir

  • Published in Sukan

Krubong - Dua pemain Skuad Piala Presiden Melaka United, dipanah petir ketika menjalani latihan di Padang 10 Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong, petang semalam. 

Salah seorang daripada mereka Marco Stefan Petrovski, yang merupakan penjaga gol simpanan, masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka. 

Manakala seorang lagi pemain posisi, Muhammad Afiq Azuan dilaporkan sudah memberi reaksi, namun masih belum stabil. 

Ketika kejadian, Petrovski 18 tahun dan Muhammad Afiq 21 tahun sedang menjalani latihan bersama 27 pemain lain, ahli fisioterapi dan jurulatih di padang berkenaan bermula pukul 4 petang sebelum hujan lebat. 

Pengurus Skuad Piala Presiden Melaka United, Khairi Anuar Ahmad ketika ditemui bagaimanapun memberitahu  Petrovski yang juga pemain naturalisasi kelahiran Australia kini dalam keadaan stabil. 

Manakala Muhammad Afiq masih dipantau di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital sama. 

Jurulatih G Torairaju dan ahli fisioterapi, Ahmad Faisal Miswan, turut merasai renjatan petir, namun tidak mengalami kecederaan. 

Difahamkan, kejadian berlaku pada penghujung sesi latihan ketika pemain sedang berlatih di tepi padang berikutan hujan lebat. 

Petir dikatakan menyambar permukaan padang hingga menyebabkan semua pemain dan jurulatih merasai kesannya.