Friday, December 15, 2017
vital-top
updated 8:49 AM UTC, Dec 15, 2017

Liga Perdana - KL Lebar Rekod Tanpa Kalah

  • Published in Sukan

Kuantan - Dalam aksi Liga Perdana, pendahulu Kuala Lumpur melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan selepas menumpaskan Kuantan FA 2-1 di Stadium Darul Makmur. 

Tuan rumah bermula garang seawal minit pertama permainan. 

Hasilnya,  pada minit ke-21 Dao Bakary berjaya menanduk kemas hantaran lintang Shahrul  Aizad Zulkifli untuk gol pendahuluan "The Seagulls".

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur yang kelihatan lambat panas mula mengatur gerak dengan beberapa percubaan ke gawang gol tuan rumah. 

Pada minit ke-64, Anselmo Arruda Da Silva berjaya memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan gawang gol dengan satu rembatan leret untuk gol pertama pasukan Kuala Lumpur. 

"The Seagulls" yang kelihatan seakan hilang arah sekali lagi dihukum pada minit ke-86 menerusi percubaan luar kotak penalti oleh Zhafri Yahya ke penjuru kiri gawang untuk gol kedua pelawat. 

Dengan kemenangan itu, Kuala Lumpur terus menerajui tangga teratas liga Perdana dengan 14 mata manakala Kuantan Fa menghuni tangga ke-7, mengumpul lapan mata. 

Tiga perlawanan Liga Perdana turut berlangsung malam tadi. 

Negeri Sembilan terus memberi tekanan kepada pendahulu, Kuala Lumpur apabila mengutip tiga mata, menumpaskan Sime Darby 4-0. 

Keputusan lain, PKNS terikat 3 sama dengan JDT 2 manakala DRB Hicom seri 2-2 dengan Perlis.