Thursday, February 22, 2018
vital-top
updated 1:01 AM UTC, Feb 22, 2018

Kejayaan Khairul Idham Jadi Bualan Dalam Media Sosial

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur  -Kejayaan pelumba muda Malaysia Khairul Idham Pawi menjuarai Kejohanan Motosikal Dunia di Litar Termas De Rio Hondo, Argentina semalam, menjadi bualan atau trending dalam media sosial.

"Hey, a 17 yr old Msian boy just won the Moto 3 in Argentina!!! Khairul Idham Pawi! They're playing NegaraKu! So proud!" kata aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir dalam entri Twitternya.

(Hei, budak lelaki Malaysia berusia 17 tahun baru saja menjuarai Moto3 Argentina, Khairul Idham Pawi! Mereka sedang mainkan NegaraKu! Bangganya!)

Khairul Idham baru berusia 17 tahun dan mencipta sejarah memastikan lagu Negaraku, berkumandang buat pertama kali pada kejohanan itu.

Remaja dari Kampung Gajah, Perak itu yang lebih mesra dengan panggilan, KIP, menjuarai kelas Moto3 perlumbaan berkenaan yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut mengucapkan tahniah kepada pelumba itu melalui akaun Twitternya: "Khairul Idham Pawi, Argentina Moto3 winner (juara Moto3 Argentina). First Malaysian to win Moto3 race (pelumba Malaysia pertama menjuarai Moto3). Tahniah!"

Seorang pengguna Facebook, Hafizul Abdul Hamid, turut memuat naik status kejayaan pelumba kelahiran Perak itu dengan mengucapkan tahniah kepada KIP kerana mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

"First time (pertama kali) dalam sejarah Malaysia menang tempat pertama dalam kategori Moto3.....Litar Dato Sagor di Kg Gajah jer (saja) dia bermula....dah tiba masanya kerajaan negeri Perak membina litar lumba untuk melahirkan jaguh-jaguh dunia lepas ni...," katanya.

Khairul Idham, yang mewakili pasukan Honda Team Asia mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam perlumbaan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo, sekali gus menyaksikannya memungut 25 mata untuk melonjak pada kedudukan keempat dari tempat ke-22 selepas dua pusingan.

Sementara itu, twitter Asiangp pula dalam entri mereka menyebut:"History was made! Khairul Idham Pawi becomes 1st Malaysian to win a #Moto3 race! Superb ride!"

(Sejarah tercipta! Khairul Idham Pawi menjadi pelumba pertama Malaysia menjuarai perlumbaan Moto3! Tunggangan yang Hebat!"