Wednesday, June 26, 2019
updated 12:25 PM UTC, Jun 26, 2019

PBBM Putuskan Hukuman Gantung 4 Tahun Kekal

  • Published in Sukan

Kuala Lumpur - Hukuman gantung empat tahun terhadap atlet bina badan, Sazali Samad, kekal. 

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), semalam. 

Menurut Setiausaha PBBM, Kamaruzaman Kadir, keputusan itu dibuat selepas dua kali jawatankuasa berkenaan bermesyuarat bagi membincangkan rayuan Sazali untuk mengurangkan hukumannya. 

Jawatankuasa Rayuan itu dipengerusikan oleh Datuk Wira Masood Zainal Abidin yang juga Naib Presiden PBBM. 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan PBBM, Jawatankuasa Rayuan membuat keputusan tersebut setelah meneliti segala bukti, mengambil kira segala fakta, penjelasan dan pendapat daripada beberapa pihak berkenaan perkara itu. 

Sazali mengemukakan rayuan kepada PBBM awal Januari lalu setelah dijatuhi hukuman pada 22 September tahun lalu. 

Mr. Asia 10 kali itu digantung 4 tahun selepas gagal ujian doping yang dilakukan sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke 49 di Tashkent, Kazakhstan. 

Sejak digantung, Sazali hanya menjalani latihan seperti biasa disamping menjalankan tugasnya sebagai warden di Majlis Sukan Negara.