Thursday, February 22, 2018
vital-top
updated 9:37 AM UTC, Feb 22, 2018

D'Herbs Sdn Bhd Setuju Taja KFA 30 Juta Bagi Tempoh Tiga Tahun

  • Published in Sukan

Alor Setar - Syarikat produk kosmetik terkenal D'Herbs Sdn Bhd bersetuju menaja sebanyak 30 juta ringgit bagi tempoh tiga tahun bermula musim ini. 

Dengan penajaan bernilai 10 juta ringgit setahun itu memberi nafas baru kepada Persatuan Bolasepak Kedah, KFA untuk membentuk pasukan yang lebih mantap. 

Menurut  Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, perbincangan dengan pemilik D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kini di peringkat akhir. 

Pengasas produk yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu akan bertemu dengan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Menteri Besar di Alor Setar. 

Bercakap kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Datuk Aminuddin juga memberitahu KFA secara dasarnya bersetuju melantik Datuk Aliff Syukri sebagai ahli kehormat dalam Majlis Eksekutif persatuan itu. 

Datuk Aliff Syukri juga akan hadir menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Superbest Power Piala FA antara Kedah dengan Sabah di Stadium Darul Aman. 

Dalam pada itu, Datuk Aminuddin mengingatkan Lang Merah agar bermain dengan serius dan elakkan kesilapan mudah yang membolehkan pihak lawan menjaringkan gol.