Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Malaysia - Nepal Seri Satu Sama

  • Published in Sukan

Paroi - Kesempatan bermain selaku tuan rumah gagal dimanfaatkan Skuad Harimau Malaysia Bawah 22 Tahun apabila sekadar seri satu sama dengan pasukan kebangsaan Nepal dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi . 

Anak buah Jurulatih Skuad Kebangsaan Nepal, Gyotoku Koji nampak lebih agresif untuk melakar kemenangan ekoran melancarkan gelombang serangan bertali-arus seawal tiupan wisel permulaan. 

Pasukan Nepal mula  memecah kebuntuan pada minit ke-36 menerusi Bharat Khawas yang mudah menolak masuk bola ke arah sebelah kanan dalam situasi satu lawan satu, selepas menewaskan pertahanan yang juga merupakan kapten pasukan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli melalui larian kencang. 

Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew hampir  menyamakan kedudukan apabila berjaya mencuri bola dari kaki pemain lawan kira-kira dua minit sebelum masa pertama tamat, namun rembatannya tidak menepati sasaran. 

Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan kekalahan, Muhammad Arif Mohamad Anwar menjaringkan gol melalui gerakan solo dalam kotak penalti pada minit ke-86. 

Perlawanan tamat dengan kedudukan seri Malaysia 1 Nepal 1.