Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Harimau Malaysia Tewas 0-2 Di Tangan Arab Saudi

Kuala Lumpur - Skuad Harimau Malaysia sekali lagi tunduk kepada Arab Saudi, apabila tewas 0-2 kepada pasukan itu di Jeddah, malam tadi.

Kekalahan aksi terakhir itu meletakkan Malaysia di tangga keempat Kumpulan A dengan hanya 4 mata, dua mata di hadapan pasukan tercorot, Timor Leste.

Sementara Arab Saudi di tangga teratas kumpulan dengan 19 mata.

Berlangsung di Stadium Bandaraya Sukan Raja Abdullah, Arab Saudi hanya memerlukan seri untuk menduduki takhta Kumpulan A.
  
Permainan berlangsung menarik dengan banyak serangan dilakukan Arab Saudi, namun pujian juga harus diberikan kepada Kahirul Fahmi yang beberapa kali berjaya menyelamatkan gawang negara dari dibolosi.

Pada minit ke-19, Khairul Fahmi menyelamatkan percubaan pertama tuan rumah menerusi rembatan jarak dekat oleh Abdulla Al-Dossary.

Minit ke-37 pula Arab Saudi hampir di depan namun jaringan Salman Muwashar dibatalkan pengadil kerana off-side.

Tiga minit sebelum tamat babak pertama, Arab Saudi sekali lagi berpeluang mendahului, namun rembatan Abdulmalek Al-Khaibri dinafikan oleh Kahirul Fahmi dan bola muntah pula gagal disempurnakan oleh Omar Othman.

Lima minit bersambung babak kedua, jaringan jarak dekat oleh Mohammed Al-Sahlawi berjaya meletakkan Arab Saudi di depan 1-0.

Al-Sahlawi berpeluang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-52, namun percubaannya tersasar.

Pada minit ke-74, giliran Taiseer Al-Jassam pula meledakkan gol sekaligus meletakkan Arab Saudi selesa dengan 2-0.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan, memberi tiga mata penuh buat tuan rumah untuk menerajui kumpulan A dengan 19 mata, 3 mata di depan Emeriyah Arab Bersatu.

Pada perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, September lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabanga FIFA, memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi selepas perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-87 ekoran kekecohan dilakukan penonton.