Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:32 AM UTC, Nov 20, 2017

Barisan Terbaik Ke Piala Thomas - BAM

 

Kuala Lumpur - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menurunkan barisan terbaik negara ke pusingan akhir Piala Thomas Mei ini, biarpun tumpuan utama adalah Sukan Olimpik yang diadakan tiga bulan selepas itu.

Ini disahkan Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid yang sekali gus bererti pasangan veteran, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berkemungkinan besar akan kembali dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan dwitahunan itu.

Menurut Mohamed Al-Amin, senarai muktamad pemain ke Piala Thomas yang akan diadakan di Kunshan, China dari 15-21 Mei akan diketahui akhir bulan depan.

Mohamed Al-Amin berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM menilai persembahan pemain negara susulan prestasi hambar sewaktu Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas di India, bulan lepas, menyaksikan Malaysia sekadar mara ke suku akhir.

"Kemungkinan besar kita akan letakkan pemain terbaik, namun tumpuan kita pasti lebih kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," katanya.

Beliau yang juga ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Rio berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama pengurus pasukan bagi sukan yang telah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu, di Wisma OCM.

Sebelum ini, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei turut mengharapkan Kien Keat-Boon Heong akan disenaraikan ke Kunshan bagi memperkuatkan cabaran Malaysia yang juga merupakan naib juara edisi 2014.

Sebagai rekod, bagi kempen 2014, hanya Chong Wei dan Boon Heong yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Piala Thomas manakala pemain lain baru membuat penampilan pertama di kejohanan itu.