Thursday, August 22, 2019
updated 3:16 PM UTC, Aug 22, 2019

MotoGP - Lorenzo Unggul Di Qatar

  • Published in Sukan

Doha - Juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo terus unggul apabila menjuarai perlumbaan pembuka musim 2016 di Grand Prix Qatar, awal pagi tadi. 

Pelumba Yamaha kelahiran Sepanyol itu gah menamatkan perlumbaan dengan catatan 42 minit 28.452 saat,meninggalkan pemenang tempat kedua, Andrea Dovizioso dengan kelebihan 2.019 saat. 

Jaguh Ducati, Dovizioso yang juga naib juara di Litar Antarabangsa Losail, tahun lalu bersaing sengit bersama juara dunia dua kali dari Honda, Marc Marquez yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. 

Legenda Itali dan rakan sepasukan Lorenzo, Valentino Rossi keempat dengan ketiga-tiganya dibezakan dengan jurang mata yang cukup kecil. 

Dalam kelas Moto2, pelumba Switzerland, Thomas Luthi menjuarai perlumbaan dengan catatan 40 minit 14.293 saat diikuti pelumba Sepanyol, Luis Salom dan Simone Corsi dari Itali, ketiga.

Begitupun, paling membanggakan ialah pencapaian pelumba negara, Hafizh Syarin Abdullah yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekali pun memulakan perlumbaan di petak ke-16. 

Dalam kelas Moto3, pelumba Itali dan Honda, Niccolo Antonelli menjuarai perlumbaan diikuti pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dan Francesco Bagnaia, ketiga.