Thursday, August 22, 2019
updated 3:16 PM UTC, Aug 22, 2019

Piala AFC - JDT Kekal Rekod Kemenangan

  • Published in Sukan

Larkin  -Johor Darul Ta'zim mengungguli takhta Kumpulan H selepas menewaskan kelab Laos, Lao Toyota FC 3-0 dalam aksi di Stadium Larkin malam tadi. 

Ia sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah JDT dalam tiga perlawanan setakat ini.

Separuh masa pertama berlangsung hambar apabila kedua-dua pasukan masih mencari rentak dan gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol. 

Peluang terbaik JDT mencari gol pembukaan seawal minit ke empat turut gagal disudahkan dengan baik oleh Amri Yahyah menyaksikan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan. 

Pada minit ke-62 JDT dihadiahkan sepakan penalti pertama selepas pemain Lao Toyota, Takahiro Saito dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Syria, Hanna Hattab kerana menampan bola dengan tangan. 

Kapten Safiq Rahim yang dimasukkan Mario Gomez selepas rehat tenang menyudahkan sepakan dengan baik untuk JDT mendahului 1-0. 

Juara bertahan ini bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila S. Kunanlan menerima kad kuning kedua, kerana mengasari pemain pelawat, Maitee minit ke-69. 

Namun sepakan penalti kedua diperolehi sedikit menceriakan penyokong tuan rumah selepas S. Chanthuru dijatuhkan pemain pertahanan lawan, Phattana Syvilay. 

Kapten Harimau Selatan sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila menyudahkan penalti kedua. 

Seterusnya Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya JDT dengan menjaringkan gol ketiga pada waktu kecederaan. 

JDT kini mengutip sembilan mata dan hanya memerlukan tiga lagi mata untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC. 

Perlawanan seterusnya ialah menentang Bengaluru FC dari India pada 11 April ini.