Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

Zainal Tamatkan Khidmat Selaku Ketua Jurulatih Pahang Atas Faktor Keluarga

Kuantan - Faktor mahu dekat dengan keluarga membuatkan Zainal Abidin Hassan tidak berhasrat menyambung khidmatnya selaku ketua jurulatih Pahang musim depan.

Sebelum membuat keputusan itu, Zainal berkata beliau sudah berbincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan mendapat perkenan bagi meneruskan hasratnya itu.

"Saya ada berbincang dengan Tengku Muda mengenai hasrat saya untuk berhijrah ke tempat terdekat dengan keluarga saya agar dapat menjalankan tugas sebaik mungkin sebagai ketua keluarga.

"Malah, anak-anak saya juga akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi," katanya pada sidang media khas selepas majlis perpisahan beliau, yang turut dihadiri barisan pemain Pahang serta pengurusan PBNP, malam tadi.

Zainal berkata hasrat mengundur diri sebagai jurulatih skuad Tok Gajah juga sudah dimaklumkan kepada pengurusan tertinggi PBNP, dan pada masa sama beliau masih berminat membimbing pasukan lain.

Beliau juga mengesahkan mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan di Lembah Klang termasuk Selangor dan Polis Diraja Malaysia bagi mengisi jawatan ketua jurulatih pasukan berkenaan.

Zainal berkata keputusan pasukan yang bakal dibimbingnya musim depan akan diumumkan secepat mungkin oleh beliau sendiri atau pihak pengurusan pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Zainal tidak menolak kemungkinan akan kembali berkhidmat dengan Pahang selepas berhijrah ke pasukan lain, namun bukan sebagai jurulatih.