Monday, August 19, 2019
updated 10:06 AM UTC, Aug 19, 2019

Tenpin Boling - Natasha Muncul Juara

  • Published in Sukan

 

Petaling Jaya - Pemain boling kebangsaan Natasha Roslan menebus kekecewaan edisi lepas apabila berjaya meraih pingat emas acara perseorangan wanita Kejohanan Boling Antara Negeri ke-29.

Pada edisi lepas, Natasha yang mewakili Selangor, meraih pingat perak manakala pemain Kuala Lumpur Sharon Koh, memenangi emas.

Natasha, 20, yang mula menyertai skuad kebangsaan sejak tiga tahun lepas, mengumpul 1,394 jatuhan pin dengan kelebihan 91 pin, untuk selesa merebut pingat emas acara perseorangan wanita, kali ini.

Pencabar terdekatnya, Victoria Chin, juga dari Selangor, meraih perak dengan 1,303 jatuhan pin diikuti pemain Kuala Lumpur, Nur Syazwani Sahar dengan catatan 1,274 jatuhan pin.

Natasha, pelajar jurusan perniagaan di Kolej Sunway, berkata keyakinannya untuk menjuarai acara tersebut bermula pada permainan keempat dengan mencatatkan 267 jatuhan pin.

Dalam pada itu, pemegang pingat emas kejohanan sama edisi lepas, Sharon Koh dari Kuala Lumpur sekadar berada di kedudukan keempat dengan catatan 1,262 jatuhan pin.

Sementara itu, pemain boling kebangsaan, Ahmad Muaz Fishol yang juga mewakili Selangor, menjuarai acara perseorangan lelaki selepas menjatuhkan 1,431 pin.