Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Murid Tahun Enam Wakil Malaysia Ke Kejohanan Tomoi Di Thailand

Taiping - Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Changkat Jering terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Seni Pertahanan Diri Thai di Bangkok, Thailand bermula Sabtu.

Iskandar Zulqarnain Mohd Ezry A'Zamin akan mewakili Malaysia bagi acara Muay Thai atau tomoi untuk kategori bawah 12 tahun dalam kejohanan yang berlangsung pada 12 hingga 22 Mac ini.

Iskandar Zulqarnain berkata beliau berlatih setiap hari sebagai persediaan berdepan dengan para pencabar peringkat dunia yang pastinya berpengalaman.

"Saya menyertai kejohanan itu kerana mahu mengharumkan nama sekolah ini dan juga nama kedua-dua ibu dan bapa saya," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu, telah menyertai 48 pertandingan tomoi di seluruh negara setakat ini dan memenangi lebih 30 daripadanya.

Sementara itu, bapa Iskandar Zulqarnain, Mohamad Ezry A'Zamin Abdul Wahab, 36, yang merupakan seorang jurulatih sukan tomoi berkata setiap hari beliau memperuntukkan dua jam bagi melatih anaknya.

"Saya berharap anak saya dapat menang sekurang-kurangnya tempat kelima bagi membolehkan dia melayakkan diri untuk menyertai kejohanan tomoi di Eropah Mei depan," katanya.