Wednesday, December 13, 2017
vital-top
updated 8:55 AM UTC, Dec 13, 2017

LTdL 2016 - Guardini Lebarkan Kemenangan Kali Ke-21, Raih Jersi Teal

  • Published in Sukan

 

Batu Pahat  - Pelumba Astana Pro Team dari Kazakhstan, Andrea Guardini membuktikan beliau 'Raja Perlumbaan Berbasikal' di negara ini, apabila melebarkan kemenangan peringkat pada Le Tour de Langkawi (LTdL) kepada kali ke-21.

Pelumba Itali berusia 26 tahun itu yang sebelum ini memenangi dua perlumbaan pada edisi tahun ini, mencatat masa 4 jam 47 minit dan 12 saat pada saingan mencabar peringkat ketujuh sejauh 202.3km dari Seremban ke Parit Sulong.

Untuk rekod, Guardini yang juga dikenali sebagai 'Mr Langkawi', memenangi lima peringkat perlumbaan pada edisi 2011, enam (2012), tiga (2014) dan empat peringkat pada tahun lepas.

Rakan senegara Guardini, Jakub Mareczko dari pasukan Southeast-Venezuela, yang meraih kemenangan sulung pada LTdL selepas menjuarai peringkat keenam semalam, menduduki tempat kedua manakala seorang lagi pelumba Itali, Andrea Palini, mewakili Skydive Dubai Pro Cycling Team AAC di tempat ketiga, pada perlumbaan berlangsung dalam cuaca panas terik mencecah 36 darjah celsius.

Pelumba Malaysia, Mohd Harrif Saleh yang mewakili Terengganu Cycling Team, dalam pada itu menampilkan kayuhan terpuji untuk muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat keempat daripada keseluruhan 124 pelumba.

Ketua komisar perlumbaan, Ibrahim Omar memutuskan kesemua 10 pelumba teratas pada perlumbaan hari ini mencatat masa yang sama selepas menamatkan saingan secara berkelompok.

Kejayaan Guardini juga menyaksikan beliau memenangi jersi Teal selaku Raja Pecut buat kali ketiga selepas edisi 2011 dan 2012, setelah mengumpul 73 mata, mengetepikan Palini yang mengutip 47 mata dengan berbaki satu perlumbaan.