Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Kerajaan tidak akan beri ganjaran untuk Ziyad

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA, 9 November - Kerajaan memutuskan untuk tidak memberi sebarang ganjaran kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Ini termasuklah menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan Ogos lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, pihaknya akan berhubung dengan atlet berkenaan bagi membincangkan mengenai ganjaran yang tiada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Peringkat Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Ziyad, terlepas pingat emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak bermula.

Ia susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.