Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Ziyad dan jurulatih tarik nafas lega, POPM tidak ambil sebarang tindakan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 7 November - Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun boleh menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman berikutan isu yang melanda mereka berdua di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.

Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan dalam isu yang membawa kepada kegagalan Malaysia mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 di Tokyo.

Sebaliknya POPM menjelaskan, pihaknya menyanjung tinggi sikap bertanggungjawab Ziyad serta jurulatihnya, untuk terus berjuang dalam kejohanan akan datang.

Bagaimanapun, mereka memberi peringatan kepada pengurusan pasukan termasuk jurulatih dan atlet supaya memberi perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum mahupun semasa kejohanan berlangsung.

Jumaat lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu tersebut merumuskan bahawa Ziyad dan Mohd Faizol tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan di bilik panggilan semasa hari pertandingan.

Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas, sekali gus catatan 17.94 meter yang juga rekod baharu dunia pada temasya berkenaan tidak diterima.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start' (DNS) susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.