Tuesday, 26 October 2021

updated 11:41 AM UTC, Oct 26, 2021

Pusat gimnasium kembali beroperasi di negeri Fasa 2,3 PPN

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 18 September - Semua pusat gimnasium kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan kembali beroperasi.

Bagaimanapun ia terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dimuat naik di telegram rasmi malam tadi.

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup dibenarkan dalam Fasa 2 dan 3 PPN dengan pematuhan 50% kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula adalah tidak melebihi 60% tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi untuk Fasa 2 dan 80% untuk Fasa 3.

Hanya individu yang telah lengkap vaksinasi boleh menggunakan kemudahan itu dan mereka dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan.