Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

KBS teliti ganjaran setimpal buat Ziyad

  • Published in Sukan

YAN, 4 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekali lagi menegaskan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bakal menerima ganjaran di atas usaha yang ditunjukkannya di Paralimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ketika ini pihak KBS sedang meneliti bentuk ganjaran yang sewajarnya buat Muhammad Ziyad.

Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal, meskipun Ziyad tidak dapat membawa pulang pingat emas gara-gara kesilapan teknikal, atlet berusia 31 tahun dari Selangor itu tetap akan menerima penghargaan daripada kerajaan.

Sebelum ini ganjaran di bawah insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan hanya diberikan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya sukan mengikut tahap yang ditentukan.

Bagaimanapun, jelas Datuk Seri Ahmad Faizal, insiden yang berlaku terhadap Ziyad adalah sesuatu yang diluar jangkaan apabila pingat emas acara lontar peluru F20 yang dimenanginya tidak diiktiraf, selain rekod dunia yang dicatatnya iaitu 17.94 meter turut dibatalkan.