Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:32 AM UTC, Nov 20, 2017

Khairy Kecewa Isu Sambutan Felicia Mikat

Kuala Lumpur - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kesal dengan sikap segelintir pihak yang cuba mensensasi isu sambutan terhadap atlet paralimpik yang cemerlang di Sukan Para ASEAN di Singapura, baru-baru ini.

Beliau berkata kesalahan tiadanya sambutan meraikan atlet terbabit tidak seharusnya diletakkan atas kerajaan semata-mata.

Orang ramai serta media juga bertanggungjawab untuk sama-sama menunjukkan penghargaan terhadap atlet paralimpik, katanya selepas program siri jelajah Yonex The Legends' Vision, semalam.

Khairy berkata selama ini kerajaan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad paralimpik negara termasuk memberikan insentif sama rata kepada atlet paralimpik dan atlet normal di bawah Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (Shakam).

Beliau mengulas laporan mengenai atlet olahraga paralimpik Felicia Mikat yang menjadi viral di laman sosial dan muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Felicia, 16, berasal dari Tambunan, yang meraih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 400m wanita T13 (masalah penglihatan) tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu minggu lepas hanya disambut oleh keluarganya, dan dikatakan tidak diberikan sambutan khas oleh pihak bertanggungjawab.

Untuk rekod, pada 10 Disember lepas, kepulangan kontinjen negara termasuk Felicia dari Singapura telah disambut oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Kompleks Sukan Kampung Pandan.