Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

Datuk 'Jijoe' ketuai kumpulan terakhir ke Tokyo

  • Published in Sukan

SEPANG, 25 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengetuai kumpulan terakhir kontinjen Malaysia berlepas ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pagi ini.

Seramai 10 individu, termasuk lima atlet daripada sukan berbasikal trek, terjun dan olahraga berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.05 petang waktu tempatan.

Selain Azizulhasni, empat lagi atlet adalah rakan sepelatihnya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, penerjun wanita Cheong Jun Hoong serta atlet olahraga, Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berlepas ke Tokyo menaiki pesawat sama bagi memberi sokongan kepada atlet negara yang berjuang di bumi Tokyo.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tiba di KLIA bagi memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara.

Beliau turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.