Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Gelagat Legenda Badminton Dunia Jadi Tumpuan

Kuala Lumpur - Gelagat legenda badminton menarik perhatian peminat badminton tempatan yang hadir menyaksikan perlawanan pertunjukkan Jelajah Legenda Dunia di Stadium Badminton Cheras semalam.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Taufik Hidayat dari Indonesia dan Peter Gade dari Denmark mempamerkan aksi bersahaja yang menarik perhatian kira-kira 5,000 peminat sukan badminton tempatan yang membanjiri stadium.

Antara menjadi tumpuan adalah gelagat Taufik serta seorang lagi bekas pemain Indonesia iaitu Rexy Mainaky.

Aksi bersahaja yang dipamerkan dua pemain tersebut dalam beberapa perlawanan menghiburkan penonton yang hadir dalam usaha mereka menaikkan sokongan sukan badminton di seluruh negara.

Peminat cilik serta pelajar sekolah turut berpeluang beraksi bersama-sama tiga legenda badminton itu.

Chong Wei turut beregu dengan bekas pemain kebangsaan era 90-an Cheah Soon Kit menewaskan gandingan Rexy dan Peter Gade 11-8 dalam salah satu perlawanan hari ini.

Penampilan Chong Wei dan isterinya Datin Wong Mew Choo turut mendapat sorakan gemuruh penonton yang hadir ketika perlawanan menentang Taufik yang bergandingan dengan naib juara Remaja Dunia Lee Ying Ying.

Sementara itu, Chong Wei gembira dengan kejayaan penganjuran program yang berlangsung itu.