Monday, August 26, 2019
updated 3:04 AM UTC, Aug 26, 2019

Frost Anggap Pencapaian Skuad Badminton Negara Berpasukan Capai Sasaran

  • Published in Sukan

Kuala Lumpur - Pengarah teknikal persatuan badminton malaysia, Morten Frost Hansen tidak merasakan pencapaian skuad negara di kejohanan badminton berpasukan Asia di Hyderabad sebagai memalukan.
  
Selain mencapai sasaran, pemain muda yang menggalas tugas turut memperlihatkan satu petanda baik untuk jangka masa panjang.

Beberapa pemain mendapat pujian Frost yang dianggap mencapai objektif yang ditetapkan, malah berjaya melakar kejutan tersendiri.

Paling mencuri tumpuan adalah pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang menundukkan Yu Sun dalam perlawanan kumpulan A antara Malaysia dengan China.

Dalam kategori lelaki, Malaysia berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selepas menduduki tangga ke 2 dalam kumpulan B di belakang Jepun.

Namun perjalanan Malaysia untuk ke final terhenti di peringkat suku akhir apabila tewas kepada tuan rumah, India 2-3.

Manakala dalam aksi wanita, Malaysia turut mara ke pusingan suku akhir selepas menamatkan saingan kumpulan A di tempat kedua di belakang pasukan pilihan utama, China.

Di peringkat suku akhir, Malaysia gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas ditundukkan Thailand 3-0.

Di atas kertas, Malaysia masih berpeluang untuk layak ke Piala Thomas berdasarkan kedudukan terkini yang dikeluarkan oleh persekutuan badminton dunia, BWF.

Ketika ini, Malaysia menghuni tangga ke 6 di belakang Denmark, Korea Selatan, Indonesia, Jepun dan China.

Nasib Malaysia samada layak atau sebaliknya hanya akan diketahui pada April selepas senarai baharu kedudukan dikeluarkan BWF.