Wednesday, 21 April 2021

updated 7:07 AM UTC, Apr 21, 2021

Menghitung detik penantian emas sulung Sukan Olimpik negara

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Tidak mustahil kemarau pingat emas Malaysia di Sukan Olimpik bakal berakhir di Tokyo, Julai depan.

Itu harapan yang diluahkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai peluang menamatkan penantian kilauan emas tersebut susulan pencapaian cemerlang atlet negara di beberapa kejohanan baru-baru ini.

Menurut Reezal Merican, setakat ini beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi beberapa atlet negara seperti juara badminton All England, Lee Zii Jia dan pelumba berbasikal trek, Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sharom.

Namun, beliau berharap peningkatan prestasi atlet-atlet negara tersebut dapat mencapai kemuncaknya pada temasya di Tokyo Julai depan, sekali gus kilauan emas pertama negara dapat direalisasikan tepat pada masanya.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam sidang media Majlis Pelancaran Akademi Kejurulatihan Kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN).

Ketika ini, sinar harapan untuk memenangi pingat emas pertama tersebut kembali cerah dan disandarkan kepada Zii Jia, Azizulhasni serta Shah Firdaus berdasarkan kejayaan yang dikecapi mereka sejak beberapa minggu lalu.

Namun, beliau juga tidak menolak harapan tersebut dapat dijelmakan beberapa lagi atlet negara seperti dalam acara terjun dan juga pelayaran.

Sejak membuat penampilan sulung di pentas Sukan Olimpik pada 1956, Malaysia hanya berjaya memenangi tujuh pingat perak dan empat gangsa.