Wednesday, 21 April 2021

updated 8:34 AM UTC, Apr 21, 2021

Anugerah SAM-100Plus: Kementerian Perpaduan salur geran tajaan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Pengamal media sukan mendapat satu lagi pengiktirafan apabila Kementerian Perpaduan Negara bersetuju menjadi rakan kongsi bagi mengangkat karya sukan melalui Anugerah SAM-100Plus yang menjadi acara tahunan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sejak lebih sedekad lalu.

Melalui kerjasama itu, Kementerian Perpaduan Negara akan menyalurkan geran tajaan bermula tahun 2021 untuk SAM mewujudkan tiga kategori baharu dalam anugerah berprestij sukan tersebut.

Persetujuan itu dinyatakan melalui surat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique kepada SAM semalam.

Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie merumuskan penyertaan Kementerian Perpaduan akan menjadikan Anugerah SAM-100Plus sebagai satu lagi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air yang turut memainkan peranan secara tidak langsung untuk mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui laporan sukan masing-masing.

Anugerah SAM yang telah bermula pada tahun 1985 adalah untuk menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan dengan 6 kategori Anugerah Kewartawanan mula dipertandingkan pada tahun 2009 selain kategori untuk atlet-atlet terbaik negara.

Tiga kategori baharu yang akan diperkenalkan mulai tahun ini ialah Laporan Media Terbaik (Media Berbahasa Melayu), Laporan Media Terbaik (Media Bukan Berbahasa Melayu) dan Foto Perpaduan Terbaik.