Saturday, 6 March 2021

updated 1:06 PM UTC, Mar 6, 2021

Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 2 Februari - Bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David meluahkan penghargaannya kepada semua rakyat Malaysia yang menyokongnya sehingga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

Nicol memenangi anugerah tersebut setelah meraih undi majoriti menerusi undian dalam talian yang ditutup pada jam 9 malam tadi.

Sebagai calon tunggal Asia, juara dunia sebanyak lapan kali itu, mendahului undian sejak hari pertama pada 8 Januari lalu apabila menerima 318, 943 undi, kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat.

Menurut laman rasmi Sukan Dunia, bekas pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut itu mengatasi 23 atlet lain yang mewakili sukan masing-masing.

Menurut bekas atlet berusia 37 tahun dari Pulau Pinang itu, anugerah ini adalah satu penghormatan buat dirinya.

Pencabar terdekat Nicol  ialah legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undi diikuti atlet angkat berat wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova, yang berada di tempat ketiga dengan 80,790 undi.

Anugerah tersebut dianjurkan sebagai sambutan ulang tahun ke-40 acara Sukan Dunia yang pertama kali diadakan di Santa Clara, California, Amerika Syarikat pada 1981.

Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani pernah memenangi anugerah Atlet Terbaik Sukan Dunia bagi edisi 2019.