Sunday, 7 March 2021

updated 1:54 AM UTC, Mar 7, 2021

Bintang tenis mula protes arahan kuarantin

  • Published in Sukan

MELBOURNE, AUSTRALIA, 19 Januari - Beberapa bintang tenis yang terperangkap di hotel kerana menjalani kuarantin sebelum Terbuka Australia tidak akan diberi layanan istimewa untuk meninggalkan bilik masing-masing bagi menjalani latihan.

Arahan daripada pihak berkuasa Australia itu dibuat selepas beberapa pemain bintang berkenaan mula menunjukkan 'tanda-tanda protes' dengan cara tersendiri.

Antara tanda protes yang ditunjukkan ialah memukul bola ke tingkap hotel, dinding dan juga belakang katil.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dilaporkan membuat beberapa permintaan kepada pihak penganjur termasuk membenarkan para pemain berpindah ke sebuah kediaman peribadi yang memiliki gelanggang tenis.

Bagaimanapun, permintaan tersebut ditolak oleh pihak penganjur dengan alasan pihak berkuasa tidak akan melonggarkan peraturan berkenaan kerana mahu memastikan kesihatan pemain terjamin.

Terdahulu, seramai empat individu termasuk seorang pemain disahkan positif COVID-19 ketika dalam penerbangan khas ke Melbourne.

Susulan itu, pihak berkuasa dan penganjur mengarahkan kesemua 70 pemain menjalani kuarantin selama 14 hari.

Terbuka Australia yang bakal membuka tirainya pada 8 Februari ini menyaksikan Djokovic turun selaku juara bertahan dan pilihan utama kategori lelaki manakala pemain Amerika Syarikat, Sofia Kenin pula akan mempertahankan kejuaraan bagi kategori wanita.