Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

LIGA M 2021 mungkin ditangguhkan - FAM

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 15 Januari - Peminat bola sepak tanah air mungkin perlu menunggu lebih lama lagi sebelum dapat menyaksikan pasukan masing-masing beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, aksi pembuka tirai musim ini yang dijadual pada 26 Februari depan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan seandainya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Jelas Datuk Mohd. Yusof penyambungan pelaksanaan PKP akan menyebabkan setiap pasukan bertanding hanya memiliki masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga.

Lebih membimbangkan apabila pasukan-pasukan berkenaan juga tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP.

Justeru, seandainya PKP disambung sekurang-kurangnya dua minggu lagi dan akan tamat pada 9 Februari, ini bermakna pasukan Liga Super dan Liga Premier cuma mempunyai masa dua minggu sahaja untuk membuat persiapan.

Tambahnya, tempoh berkenaan sudah tentu dianggap tidak mencukupi kerana semua pasukan perlu diberi tempoh sekurang-kurangnya sebulan untuk mempersiapkan cabaran pasukan.