Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Skandal mengatur perlawanan, BWF gantung seumur hidup tiga pemain badminton Indonesia dan eksekutif Malaysia

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 9 Januari - Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung seumur hidup tiga pemain badminton Indonesia dan seorang eksekutif syarikat peralatan sukan warganegara Malaysia kerana kesalahan mengatur perlawanan.

Melalui satu kenyataan, BWF juga memaklumkan, lima lagi pemain Indonesia digantung antara enam dan 12 tahun serta masing-masing didenda antara USD3,000-12,000.

Lapan pemain Indonesia itu melakukan kesalahan berkenaan ketika bertanding dalam kejohanan peringkat rendah di Asia sehingga 2019.

Unit Integriti BWF mendapati, tiga pemain yang digantung seumur hidup itu bertindak mengatur dan menyelaraskan pemain lain untuk terlibat dalam tingkah laku tidak jujur.

Panel Pendengaran Bebas BWF mendapati pemain terbabit melanggar peraturan integriti badminton dengan mengatur, memanipulasi dan melakukan pertaruhan perlawanan.

Seorang rakyat Malaysia yang menjadi wakil eksekutif barangan sukan turut digantung seumur hidup dari terlibat dalam kesemua aktiviti berkaitan badminton.