Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Kes COVID-19 meledak, KHM tangguh saingan Liga Hoki Malaysia 2021

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 9 Januari - Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menangguhkan kejohanan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) dan pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 14 Januari hingga 20 Februari depan bagi kategori lelaki dan 20 Januari hingga 20 Februari bagi kategori wanita itu adalah perlawanan sulung tempatan dianjurkan mengikut kalendar kejohanan KHM bagi musim 2021.

Bagaimanapun, keputusan menangguhkan liga terpaksa dibuat berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam negara dengan jumlah tertinggi mencecah 3,027 kes semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Anil Jeet Singh memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan di pejabat KHM dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Berikutan ancaman COVID-19, KHM bersetuju untuk menganjurkan kejohanan tanpa kehadiran penonton, menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat serta memperkenalkan format perlawanan baharu.

Saingan 2021 bakal menampilkan Sabah selaku muka baharu bagi kategori lelaki selain tujuh pasukan musim lepas yang akan merebut kejuaraan tahun 2021.

Bagi saingan wanita pula, empat pasukan musim lepas akan menerima cabaran daripada Young Tigress dan UniKL Ladies yang membuat penampilan kali pertama bagi musim 2021.