Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Perak FC umum tiga pemain baharu, bakal bawa masuk penyerang import gantikan Shahrel Fikri

  • Published in Sukan

IPOH, 3 Januari - Perak FC mengumumkan telah mengikat tiga pemain baharu terdiri daripada dua pemain tempatan dan seorang pemain import kuota ASEAN bagi memperkuatkan pasukan mengharungi kempen Liga Malaysia 2021 yang dijangka berlangsung 26 Februari depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dua pemain tempatan itu adalah bekas penjaga gol Kedah, Muhammad Azri Ab Ghani dan bekas pemain pertahanan UiTM FC, Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham.

Sementara tonggak import ialah pemain pertahanan kebangsaan Singapura, Muhammad Shakir Hamzah.

Menurut beliau, kemasukan mereka ke dalam pasukan diharap mampu memberikan kekuatan tambahan buat skuad Perak bagi menghadapi kempen musim ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Perak FC mungkin membawa masuk dua pemain termasuk seorang penyerang import kuota Asia bagi mengisi kekosongan selepas bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berhijrah ke Selangor.