Sunday, 17 January 2021

updated 1:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Harimau Malaya segak tampil dengan jersi baharu edisi 2020-2022

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Selepas setahun tanpa sebarang aksi, skuad Harimau Malaya kini tampil dengan imej yang lebih segak bergaya susulan pelancaran jersi baharu edisi 2020-22 hari ini.

Jersi yang di taja oleh Nike itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bakal menggunakan jersi utama atau 'home jersey' dengan reka bentuk berkolar buat kali pertama sejak 2007.

Majlis pelancaran tersebut berlangsung secara maya dan disiarkan serentak di semua platform media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia menampilkan 10 pemain kebangsaan diketuai ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak serta penampilan istimewa ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Menurut FAM, pelancaran jersi baharu ini terpaksa diadakan secara maya memandangkan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran penularan pandemik COVID-19.

Sebagai simbolik pelancaran jersi baharu ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin menjadi individu pertama yang menerima kedua-dua jersi 'home' dan 'away' Malaysia edisi 2020-22 daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan Malaysia, kesemua tujuh reka bentuk jersi 'home' sebelum ini adalah tidak berkolar, sekali gus menjadi penampilan baharu skuad Harimau Malaya.

Jersi kedua atau jersi 'away' turut menampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini.

Skuad Harimau Malaya yang kini di kedudukan 153 dunia akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac 2021 serta saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei 2021.