Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

SPRM siasat pengurusan lama KFA

  • Published in Sukan

ALOR SETAR, 19 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan sedang menyiasat beberapa isu yang dikaitkan dengan pengurusan terdahulu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharon Nizam Abd Manap berkata, pihaknya telah melakukan siasatan awal selepas isu berkenaan dilaporkan di media.

Dalam satu kenyataan melalui aplikasi whatsapp kepada RTM, Datuk Shaharon Nizam berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Mengulas sama ada bekas Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris akan dipanggil untuk siasatan, beliau berkata, pihaknya belum menentukan lagi siapa yang akan dipanggil.

Namun individu yang akan dipanggil adalah mereka yang relevan dan dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, Datuk Shaharon Nizam mengesahkan pihaknya menerima laporan berbentuk maklumat atau info daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkaitan kes tersebut, petang tadi.

Antara isu yang dibangkitkan ialah jumlah kutipan sebenar Tabung Timbang Tara Sukan, CAS KFA yang kini hanya berjumlah RM10,411 sedangkan bekas Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz sebelum ini memaklumkan jumlah kutipan telah mencecah RM50,000.

Selain itu, isu penajaan yang meragukan dan isu caruman KWSP serta LHDN yang tidak dibuat, turut ditimbulkan.