Saturday, 24 October 2020

updated 8:47 AM UTC, Oct 24, 2020

KBS komited bantu industri sukan terjejas ketika PKPB

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA, 15 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) prihatin dan memahami keresahan pemain industri sukan yang terkesan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa KBS komited dalam usaha membantu industri sukan terlibat.

Ini dengan mengadakan kerjasama dan mengikut panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar aktiviti sukan dan rekreasi dapat dibuka semula seperti mana didalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebaik sahaja berakhirnya tempoh PKPB.

Datuk Seri Reezal menerusi satu kenyataan turut menjelaskan bahawa larangan aktiviti sukan dalam dewan hanyalah bersifat sementara.

Malah ujarnya, kerajaan masih membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal dengan ia dijalankan secara individu dan di tempat terbuka, terhad kepada maksimum 10 orang pada satu-satu masa.

Tegas beliau, langkah melarang aktiviti sukan berkontak dan berpasukan serta lain-lain sukan dalam dewan di kawasan PKPB perlu dilaksanakan atas arahan MKN dan nasihat KKM.

Keputusan tersebut dilaksana atas dasar kesihatan dan kepentingan awam buat sementara waktu untuk membantu negara memutuskan penularan pandemik COVID-19.