Saturday, 24 October 2020

updated 8:47 AM UTC, Oct 24, 2020

KBS saran tangguh dan jadual semula aktiviti sukan

  • Published in Sukan

SELANGOR, 14 Oktober - Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini, di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan semua penggiat sukan serta rekreasi termasuk operator fasiliti, menangguh dan menjadual semula semua aktiviti masing-masing.

Dalam kenyataan, KBS menegaskan semua pihak yang terlibat perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antaranya, aktiviti di kawasan tertutup, kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, perlawanan bagi sukan berpasukan serta penganjuran kejohanan atau pertandingan adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal, dengan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang seperti esports, berjalan, jogging, berbasikal, senam robik kendiri dan lain-lain yang dilakukan di kawasan terbuka, masih dibenarkan.

Bagi program latihan berpusat atlet yang sedia ada di bawah kendalian Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri-negeri pula boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal.

Manakala di daerah atau negeri lain, program serta acara sukan dan rekreasi boleh diteruskan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.