Tuesday, 29 September 2020

updated 2:43 PM UTC, Sep 29, 2020

Liga Sepak Takraw STL 2020: Bomba Fighters cipta sejarah

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 14 September - Saingan Liga Sepak Takraw STL 2020.

Bomba Fighters mencipta sejarah dalam penyertaan sulung STL selepas menjuarai saingan Divisyen Satu menewaskan pasukan berpengalaman, Putrajaya Cyborg 2-0 di Stadium Tititwangsa.

Lebih manis, pasukan itu secara automatik layak ke saingan Divisyen Premier musim depan dan Kejohanan Piala Juara-Juara pada November.

Putrajaya Cyborg terlebih dahulu menemui rentak permainan melalui tekong Shahril Rosdi yang banyak menyumbang mata melalui servis padu.

Namun, Bomba Fighters yang ketinggalan 11-6 pada satu ketika berjaya bangkit untuk memenangi set pertama 21-13.

Set kedua; Putrajaya Cyborg banyak memperoleh mata menerusi rejaman Muslim Muhammad.

Tekong, Irsyad Faiz Aziz tidak mensia-siakan beberapa peluang servis ace sekaligus berjaya mengelak perlawanan diheret ke set penentuan.

Namun Bomba Fighters memenangi set kedua dengan keputusan 21-15.

Kemenangan itu menebus kekecewaan Bomba Fighters yang tewas perlawanan pertama kumpulan B tempoh hari.

Bomba Fighters membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta piala kejohanan, manakala Putrajaya Cyborg selaku naib juara membawa pulang RM10,000.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam disaksikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail.