Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

KFA mahu jumlah pampasan setimpal seperti yang telah dilaburkan ke atas Mohd Akhyar Rashid

  • Published in Sukan

ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah, KFA mahu jumlah pampasan yang setimpal dengan apa yang telah dilaburkan persatuan untuk Mohd Akhyar Rashid. 

Demikian tegas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berhubung tindakan persatuan memfailkan tuntutan baharu kepada mahkamah timbang tara antarabangsa Asia, AIAC.

Menurut Asmirul, walaupun Asian International Arbitration Centre (AIAC), Mahkamah Timbang Tara membuat keputusan yang memihak kepada KFA, namun beberapa tuntutan yang dikemukakan persatuan itu sebelum ini tidak dimasukkan dalam pampasan yang ditawarkan.

Beliau mengakui jumlah pampasan yang dituntut KFA terhadap Akhyar melebihi RM327,000.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding hanya RM75,000 yang perlu dibayar oleh mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan Kedah sebelum ini, seperti yang diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM.  

Pada masa sama, Asmirul berkata, isu yang dikemukakan oleh KFA terhadap JDT juga masih belum diputuskan oleh FAM.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah bercakap kepada media selepas menyampaikan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.