Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Penjaga gol Zamir Selamat kembali menjadi buruan banyak pasukan bola sepak

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - 'Sentiasa percaya pada diri sendiri dan tidak pernah berputus asa', menjadi kata-kata azimat kepada penjaga gol berpengalaman, Zamir Selamat, yang kini kembali tersenyum apabila melihat kariernya bernafas semula, selepas melalui tempoh suram pada musim lalu.

Gagal menyertai mana-mana pasukan dari Liga Super atau Liga Premier pada awal musim, Zamir terpaksa bermula dari bawah, apabila menyertai kelab Liga M3, Batu Dua FC, bagi membina semula kariernya.

Setelah menunjukkan prestasi terbaik, selepas menyertai skuad Harimau Kumbang pada pertengahan musim 2019, Zamir menjadi buruan banyak pasukan termasuk dari Liga Super, namun memilih menyarung jersi negeri kelahirannya, Kuala Lumpur.

Zamir berharap apa yang dilaluinya mampu menjadi inspirasi, terutama kepada kebanyakan pemain yang mungkin bergelut dalam mendapatkan pasukan baharu, agar tidak sama sekali malu memulakan karier daripada liga bawahan, sekiranya itu yang diperlukan dalam membina semula perjalanan karier.

Bagi Zamir, keadaan turun naik kariernya merupakan salah satu faktor dirinya menggenggam antara pencapaian terbaiknya ketika ini.

Meninggalkan Pulau Pinang, Zamir menjadi anggota baharu skuad warga kota dan bakal menerima saingan oleh Khatul Anuar Md. Jalil bagi posisi nombor satu penjaga gol Kuala Lumpur.

Beliau merupakan bekas penjaga gol Harimau Muda dan pernah beraksi dengan banyak pasukan utama, seperti Johor Darul Ta’zim, PKNS, Perak dan Melaka.