Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Balu bekas jurulatih badminton Allahyarham Mohd Izuan Ibrahim, terima Pencen Penakat

  • Published in Sukan

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) Negeri Kelantan membela nasib balu dan anak-anak bekas jurulatih badminton remaja Kelantan dan Perlis, Mohd Izuan Ibrahim. 

Pengarah PERKESO Negeri Kelantan, Nora Yaacob berkata, semakan pihaknya mendapati caruman Allahyarham mencukupi syarat kelayakan untuk pembayaran tuntutan Pencen Penakat.

Menurut Nora, melalui Pencen Penakat itu, sebanyak RM1,787 akan dikredit ke akaun balu Allahyarham, Siti Marshytah Mohamad, setiap bulan.

Manakala, tiga anak Allahyarham yang masing-masing berusia empat hingga sembilan tahun, menerima bayaran pencen syer sehingga mencapai umur 21 tahun atau sehingga tamat pengajian Ijazah pertama.

Nora berkata, ia diharap sedikit sebanyak dapat membantu balu Allahyarham untuk menerusi kesinambungan hidup selepas kehilangan tempat bergantung apatah lagi balu Allahyarham adalah suri rumah sepenuh masa.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Khairat Kematian oleh PERKESO dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada balu Allahyarham di Kampung Banggol, Kota Bharu.

Turut hadir Naib Presiden BAM, Dr. Naharuddin Hashim.

Allayarham Mohd Izuan, 35 tahun, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu, Kelantan pada 23 Disember lalu.

Nama Allahyarham sebelum ini tular, selepas Jepun muncul juara Piala Thomas pada 2014 kerana pernah menjadi jurulatih Kento Momota ketika masih remaja.

Allahyarham sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas sebagai jurulatih skuad junior BAM pada 1 Januari lalu.