Sunday, January 19, 2020
updated 2:44 AM UTC, Jan 19, 2020

UniKL lakar kemenangan kedua, selepas atasi Hockademy KL, 3-1

  • Published in Sukan

 

KUALA LUMPUR - UniKL meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Liga Hoki Malaysia 2020 selepas melakar detik manis kedua berturut-turut apabila mengatasi Hockademy KL, 3-1.

Turut melakar kemenangan, Maybank yang mengatasi Universiti Teknologi Mara (UITM) 4-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Beraksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur, UniKL yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih, Jumaat lalu tidak berdepan kesukaran untuk atasi tentangan yang diberikan oleh Hockademy.

Jaringan daripada Muhammad Razie Abd Rahim, Roel Bovendeert dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin sudah memadai buat skuad kendalian Arul Selvaraj untuk mengutip tiga mata penuh.

Turut mengekalkan rentak kemenangan adalah pasukan Maybank selepas menewaskan UITM.

Joel Samuel Van Huizen menyumbang dua jaringan manakala Muhammad Haziq Samsul serta Hafifihafiz Hanafi masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu kemenangan Maybank.

UniKL kini berada di kedudukan ketiga liga dengan 6 mata, turut berkongsi mata dengan Maybank yang berada di kedudukan kedua hanya dipisahkan dengan jumlah jaringan.