Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

THT bolos 5 gol tewaskan TNB Thunderbolts

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) bangkit daripada kekalahan dalam Piala Sumbangsih baru-baru ini, dengan menewaskan TNB Thunderbolts pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia Premier 2020.

Tiga jaringan daripada pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun menjamin kemenangan THT yang menamatkan perlawanan dengan lima gol tanpa balas.

THT yang menguasai 80% perlawanan membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti oleh Jong Hyun pada minit ke 5 dan 7.

TNB yang majoritinya diwakili pemain muda pembangunan hoki Malaysia lebih banyak berkubu di hadapan gawang sendiri dan melakukan serangan beberapa kali.

Suku kedua menyaksikan THT telah menukar rentak dengan membuka permainan dan mengendurkan serangan, namun masih memanfaatkan peluang pukulan sudut penalti bagi menambah jaringan.

Ketika pasukan TNB berusaha mencari tempo dengan meningkatkan intensiti permainan serta agresif mencipta peluang, THT kekal utuh di kubu sendiri.

Tamat suku kedua, THT mendahului TNB dengan tiga jaringan berbalas kosong.

TNB menukar corak permainan dengan melakukan lebih banyak serangan pada suku ketiga perlawanan.

THT terus selesa apabila pukulan kilas Faizal Saari menerjah gawang TNB, sekali gus meletakkan pasukannya empat mata di hadapan.

Masuk suku terakhir perlawanan, pasukan TNB dilihat mencipta peluang melalui gerakan-gerakan bahaya, namun masih gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Berbaki 3 minit perlawanan Tengku Ahmad Tajuddin melengkapkan mata kelima buat THT sekaligus meletakkan juara bertahan itu di kedudukan kedua liga.